Powered By Blogger

Friday, December 7, 2018

Siapa kita tanpa mereka ...


SIAPA KITA TANPA MEREKA  ...


Firman Allah dalam surah An Nisa’ ayat 36 bermaksud:
“ Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukannya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.”

Dalam blog ini saya akan menceritakan tentang siapa kita tanpa mereka.
“SIAPAKAH MEREKA ITU?”

Mereka itu adalah ibu bapa .Ibu bapa yang telah banyak mencurahkan kasih sayang, tenaga dan sebagainya. Islam telah meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang tinggi dalam hubungan kekeluargaan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT. Terdapat hadis yang jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan yang diberikan Islam kepada ibu bapa.

Hadis tersebut bermaksud:
“Amal perbuatan yang amat disukai Allah SWT ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah.”
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23 bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dar keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menegking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Kita kenalah balas jasa dan pengorbanan mereka seperti:

-Taat kepada ibu bapa. Taat di sini bermaksud kita menghormati dan melakukan perkara yang disukai oleh mereka.
-Menyambut hari lahir ibu bapa supaya lebih timbul rasa kasih saying dan dapat eratkan lagi silaturrahim.
-Tolong ibu bapa di rumah seperti jemur kain, lipat kain, sapu sampah dan sebagainya.
Jasa dan pengorbanan mereka yang telah berpenat lelah bekerja mencari nafkah untuk sara hidup membesarkan kita dan adik beradik yang lain adalah tidak ada tolok bandingnya.

Jadi jagalah mereka dengan sebaik-baiknya sepertimana mereka menjaga kita dari kecil. Jadi janganlah derhaka kepada ibu bapa dan janganlah hantar mereka ke rumah orang tua. Jagalah mereka dengan tangan kamu sendiri sepertimana kedua ibu bapa kamu menjaga kamu sehingga kamu besar. Curahlah kasih sayangmu dan janganlah biarkan mereka begitu sahaja tanpa dijaga sepertimana orang di luar sana lakukan kepada ibu bapa mereka.
Mereka adalah orang yang telah mendidik dan melahirkanmu supaya menjadi lebih baik dan dapat menjadi pemimpin pada suatu hari nanti. Mereka adalah yang pertama mendidik kita seperti kata Profesor Diraja Ungku Aziz bahawa rumah merupakan university kepada anak-anak dan ibu bapa pula merupakan professor pertama bagi mereka. Segala yang dilakukan oleh ibu bapa akan diteladani oleh anak-anak.

“Adakah kamu sanggup menyakiti hati mereka?”
Jika kamu mempunyai hati nurani dan perikemanusiaan, kamu tidak akan sanggup membiarkan ibu bapamu yang telah tua begitu sahaja tanpa dijaga. Jadi kamu hendaklah menjadi anak yang berjasa kepada ibu bapa seperti satu kisah benar ini yang telah saya dengar dan lihat sendiri daripada empunya badan(anak).

 Ada seorang anak ini mempunyai impian yang tinggi untuk membawa ibu bapa mereka ke Mekah. Pada suatu hari, dia telah mengikuti Program Executive Talk: Air Asia From Zero To Hero di sebuah institusi pengajiannya iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin. Program itu adalah program bersama Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan AirAsia Berhad, dan dengan izin Allah SWT, dia telah mendapat 3 tiket percuma untuk ke Mekah daripada ketua pegawai tersebut. Dia berasa sangat bersyukur sehingga mengalirkan air mata.
Jadikanlah kisah ini sebagai teladan untuk menjadi anak yang soleh dan solehah yang dapat berbakti kepada ibu bapa kerana dalam kisah ini, anak ini menjadikan ibu bapanya sebagai inspirasinya untuk terus kuat mengejar impiannya.


Dan ada satu kisah lagi.

 Seorang anak ini, dia pergi dengar ceramah, ustaz tu kata pada malam Lailatul Qadar yang Allah kata Allah buka rahmat seluas-luasnya pada ketika itu yang mana orang yang meminta doa walaupun sebesar mana dosa mereka, akan didengar oleh Allah SWT kecuali anak yang derhaka kepada ibu bapanya. 
 Jadi anak ini yang dengar begitu, dia terus teringat yang dia pernah menghina ibunya pada umur 17 tahun yang lalu hanya kerana ibunya tertumpahkan Clorox pada seluar jeans dia dan dia ambil seluar tu dan campak ke muka ibunya sambil berkata “orang tua tak de akal” tapi seorang ibu dia tanggung sendiri duka dan sedih tetapi masa merawat hatinya.
 Masa umur dia (anak) 50 tahun dari umur 17 tahun hati dia tak pernah tenang sampailah mungkin Allah buka hati dia dan dia pulang ke kampung.
 Dia pergi dekat ibu dia sambil pegang tangan ibunya dan meminta maaf dan ibunya berkata “kamu tiap-tiap tahun minta maaf kat mak, mak tak de masalah apa-apa pun”. 
 Seorang ibu ini cuba tak nak menyusahkan anaknya. Dan dia bagitahu balik kat ibu dia yang dia pernah buat salah pada umur 17 tahun pada ibunya dan mungkin ibunya telah lupa dan dia berkata “saya minta mak maafkan salah anak yang berada depan mak sekarang suatu ketika dahulu yang pernah kata mak orang tua yang tak de akal.”
 Si ibu ini tadi yang anak sangka ibunya lupa, tiba-tiba memegang tangan anaknya dan sentakkan tangan anaknya dan berkata “inilah tangan yang akan heret di hadapan Allah, sanggup kata ibu yang melahirkannya orang tua yang tak de akal, yang ini mak tak pernah maafkan sampai sekarang dan mak memang tak nak maafkan kamu dan mak redha kalau mak mati, mak akan simpan benda ni sampai mak dikuburkan.” 
 Patutlah selama ini dia rasa tak tenang, solat pun tak tenang. Tapi seorang ibu sayang akan anaknya lalu memeluknya sambil menangis dan berkata “kalau mak tak nampak kamu betul-betul minta maaf, mak tak kan maafkan sampai bila-bila. Mak maafkan segala kesalahan lamu.” Dan akhirnya buat kali pertama setelah berbelasan tahun lamanya hidup dalam ketidaktentuan dan tidak pernah merasakan ketenangan , dada si anak ni terasa lapang selapang-lapangnya, damai sedamai-damainya dan perasaan inilah yang tidak pernah dia rasakan sejak 17 tahun yang lalu.

Jadi mohonlah kemaafan kepada ibu bapa, mungkin selama ini kita minta maaf dan maaf tapi kita tak minta maaf secara spesifik, selepas ini kalau buat salah minta maaflah dengan terus terang apa salah kita walaupun terasa agak malu tapi cuba. Sebabnya apabila kita jadi anak yang baik, taat kepada ibu bapa, dan hormat mereka, in shaa Allah keberkatan hidup dapat kita miliki ..

Dan kita sebagai anak, doalah untuk ibu bapa sebab doa anak yang soleh adalah lebih baik dan paling dekat. Seperti mana hadis:

“Apabila mati seseorang anak Adam, maka putuslah amalnya melainkan tiga perkara, (iaitu): sedekah jariah, ilmu bermanfaat kepada orang lain dan anak soleh yang mendoakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :
·        Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan ibu bapaku dan rahmatilah serta sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi aku di masa kecil.
     (surah Al-Isra’: Ayat 25)
·        Ya Tuhan kami! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari KIamat).
    (surah Ibrahim: Ayat 41)

Dan dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud:
“Keredaan Allah bergantung kepada keredaan bapa dan kemurakaan Allah bergantung kepada kemurkaan bapa.”
(Hadis Riwayat Imam Tarmizi)


Kesimpulannya, kita hendaklah hormat dan hargai orang yang lebih tua daripada kita  khususnya kedua ibu bapa tapi janganlah pula tak hormat orang yang sebaya dan muda dari kita. In sha Allah dengan kita hormat orang tua, hidup kita diberkati. Sebab keberkatan tu sangat penting dan tanpa mereka semua kita tidak akan mencapai kejayaan yang kita capai sekarang. Sekian sahaja dari saya.

p/s : kisah-kisah di atas diambil dari kisah benar. Semoga dapat ambil iktibar.